KENYATAAN DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN,
Tindakan merosakkan atau memusnahkan tempat ibadah agama lain tanpa alasan yang benar adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang murni. Ia tidak mungkin dilakukan oleh seorang muslim yang faham agamanya dalam ertikata yang sebenar. Tindakan seperti itu hanya dilakukan oleh orang-orang jahil yang tidak faham bagaimana tabiat sebenar agama yang mulia ini. Merujuk kepada kejadian terbaru yang berlaku di Petaling, di mana ada gereja yang dibakar dengan dilontar bahan-bahan letupan, maka berikut adalah penegasan saya;
- Kejadian ini mungkin ada kaitan dengan isu nama Allah yang sedang panas sekarang. Jika demikian, maka saya percaya perkara ini mungkin dilakukan oleh salah satu dari golongan berikut;
- Pihak yang fanatik di kalangan orang Islam yang tidak memahami disiplin Islam berhubung dengan tempat-tempat ibadah agama lain.
- Pihak yang fanatik di kalangan orang Kristian yang cuba menimbulkan provokasi.
- Pihak yang cuba mengambil kesempatan politik dari ketegangan agama di negara ini dengan tujuan-tujuan tertentu.
- Islam berlepas diri dari tindakan yang seperti ini. Al-Quran sendiri menyatakan bahawa tujuan peperangan yang berlaku dalam ajaran Islam ialah untuk membela keadilan buat manusiawi, yang antara kebaikannya menyelamatkan tempat-tempat ibadah. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Surah al-Baqarah, ayat 251). Ini menunjukkan walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak beragama dan melindungi mereka.
- Ruang perbincangan dan diolag hendaklah dibuka untuk setiap pihak memahami antara satu sama lain. Mendahulukan demonstrasi, jeritan dan slogan yang keras hanya akan menimbulkan lagi ketegangan dalam isu-isu antara agama bagi rakyat yang hidup dalam negara yang mengiktiraf kebebasan beragama. Jalan yang baik ialah firman Allah: (maksudnya) “dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami dan juga Tuhan kamu adalah satu; dan kepadaNyalah kami berserah diri”. (Surah al-Ankabut: 46).
- Jangan ada pihak yang cuba menimbulkan ketegangan ini dengan tujuan-tujuan politik seperti untuk mengaut pengaruh dan menjuarai isu untuk mendapatkan nama dan kuasa. Perkara yang penting adalah mempertahankan prinsip-prinsip Islam yang menjamin keselamatan rakyat jelata secara adil dan menentang apa bentuk kezaliman serta pencemaran hak asasi setiap individu dan pihak yang dijamin oleh agama ini.
- Orang bukan Islam dalam negara ini juga hendaklah akur bahawa negara ini mempunyai identiti islamnya, maka mereka hendaklah menjaga perasaan dan sensitiviti umat Islam. Ini amat penting dalam keadaan umat Islam mempunyai rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan, China, Filiphina, Selatan Thailand dan lain-lain negara yang membabitkan penindasan penganut agama lain ke atas umat Islam. Dibimbangi prejudis dan salahfaham boleh membawa kepada keburukan yang tidak berkesudahan.
- Peranan penting para sarjana Islam dan para pemimpin umat Islam di Malaysia ialah mempamirkan ketinggian nilai Islam ini. Amat malang jika kita yang hidup dalam multi-religious society sejak sekian lama tetapi gagal untuk memperkenalkan Islam yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam sedangkan berbagai peruntukan dan ruang dimiliki oleh kita.
- Sekali lagi, saya amat bimbang ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam pergolakan yang akhir ini. Rakyat dalam negara ini hendaklah berhati-hati.
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
8 Jan 2010
No comments:
Post a Comment